15 Ogos 2010

Ramadan

keserahkan tenangku di udara
terbang ke angkasa raya

dengan puji yang satu

dengan rasa ini
kurafakkan kata suci
agar bersih jiwa putih nurani
nikmat rahmat punyaMu
saat bersahur hingga tiba
di hujungnya
membisik damba

kembali semula di punca
lebih redha
sempurna rezeki dan ibadah
menyatu
mengalir ke ufuk kalbu
memancar semula tenang
hening ramadanMu
memaknakan hari-hariku.

Pustaka Iqbal Nazim
5 ramadan 1431H


Sesudah Sungkai

kurungkai sungkai ini
dalam khusyuk saudara-saudaraku
di luar sana
sama menjamah syukur
sebelum muazzin menebar suara
qamat maghrib membaris saf,
kutitip ratib syahdu
meraut duka saudara-saudaraku
di seluruh dunia
diratah payah musibah
digelut sengsara perang
dihambat derita tiada noktah,
kusambut salam ini
merafak doa saudara-saudaraku
di bawah langit terbuka
di bumi yang sama
dalam raja' yang senada.

PUSTAKA IQBAL NAZIM
4 Ramadan 1431H

...sama menjamah syukur
sebelum muazzin menebar suara
qamat maghrib membaris saf.

diratah payah musibah



merafak doa saudara-saudaraku

di bawah langit terbuka
di bumi yang sama
dalam raja' yang senada.

Tetap jua kutiada

kuzahir di dalam kandil
tumpang memekar cahaya
tetap jua kutiada
berbanding agung cahayaNya
kuhadir di hadam kalam
tumpang menerang makna
setiasa jua kutiada
berbanding indah makna qalamNya

Pustaka Iqbal Nazim
4 ramadan 1431H

15 Julai 2010

Melamar Rindu

Ya Rabbi, di semerbak malam kukhabarkan wangi Cinta, gementar debarku saat mentasbihkan asmaMU, Engkau yang bertakhta dalam keagunganMU, benar, kasihMU hampir yag dekat, ya Rahman, benarkan kumelamar rindu, sewaktu kudatang bertandang dari jauh, bersimpuh di bawah rimbunan maghfirahMU.

Ya Rabbi, di sakinah sunyi kukhabarkan lagi putih Cinta, gemersik santunku saat menguntum pinta, Engkau yang bertakhta dalam kebesaranMU, benar, kasihMU dekat yang akrab, ya Rahim, benarkan kumelamar rindu, sewaktu kudiami pesona mawaddahMU, sujud di bawah naungan rahmatMU.

Ya Rabbi, di mihrab pengabdian kukhabarkan lagi suci cinta, gemuruh gelora kalbuku saat kuikrarkan abrar, Engkau yang bertakhta dalam rahsia cahayaMU, benar, kasihMU akrab yang menyatu, ya Ghaffar, benarkan kumelamar rindu, sewaktu kubersembunyi dalam kilauan nurMU, abadi mengqiami cahaya dalam cahayaMU.

PUSTAKA IQBAL NAZIM
Taman Putera Jaya
Telipok.

Dalam Halkum Hud-Hud

Kucari yang tiada bersapa. demi senyap
wangilah deru 'ain yang menyulam salam nazim
kunjungan malam ini. demi sepi kujulang roh nazamkalbu
dalam halkum hud-hud yang rindu

Kucari jendelamu, kekasih

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Banggi Menggamit Hati

Karakit

Ini bukan yang pertama kutiba dan kau menyambutku dengan senyum
sebuah hari di hadapan tenang lautan yang bertemu mempersila tamu

Kalangkaman

di bawah langit yang indah awan gemawan yang silih bertukar
tatapanku di hadapan bukit Semumbong kemegahan wargamu
kukunjungi kepelbagaian bahasa dan etnik tapi kali ini kalian
telah bersatu dengan bahasa yang satu

Sabur

Setelah meredah redup teluk, kau bersembunyi dari gelora laut
siur sungai ekologi bakau dan mergastua, kutahu dalam persembunyian
tersimpan khazanah yang berkembang bagai daun-daun dan tegar rimba


Pekan Karakit
24-27 Mei 2010



Kalian Sering Alpa


selamanya kemarau, kalian menyaksikan awan-awan menyembunyikan matahari, mengharapkan ada titisan yang menyimbah bumi. setelah hujan tiba, kalian juga mahukan agar matahari segera menyedut semula air yang menenggelamkan lembah dan dataran rumah-rumah murah. sungai yang melimpah dan pembangunan yang tidak gentar apakah musibahnya saat Tuhan memberi apa sahaja. benar kalian sering alpa...


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Menerima Peringatan


kata awan, bersabarlah. akan redup alam biar matahari seterik mana atau setelah dingin oleh hujan. bersabarlah dengan air mata. bersabarlah dengan ujian Tuhan. Bersabarlah dengan hikmah yang menimpa. kata awan, kita setelah alpa yang menerima peringatan!


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Hanya Damai


telah kulepaskan pandangku kepadamu. bawalah saujana arakanmu ke serata putaran alam. biar burung-burung ikut sama, menyapa sabit bulan atau bintang-bintang indah. bukan wap yang penyebab wujud tangis yang sering diiring gempita membelah apunganmu. hanya damai yang kuharapkan. hanya damai, Tuhan.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Awan-awan yang bergompalan


apabila matahari bangun tempiaskan cahaya paginya, kau akan memandang cahaya yang berlapis di atas awan-awan yang bergompalan di angkasa. bias cahayanya menarik sayu hati akan kebesaran Ilahi, wajah langit bagai sebuah galeri lukisan-lukisan abstrak yang amat bermakna, sebuah terapi yang bererti sekali.

kau akan teruja.


PUSTAKA IQBAL NAZIM