25 April 2014

Elegi Cinta



- kepada Yazidah Abdullah

Seperti pernah diingini kini anak-anak telah melalui zaman mereka saat kau pamit ke daerah abadi dan membawa harapan itu bersama inilah bukti sebuah kasih

kulepaskan semuanya bermakna memberikan mereka kepercayaan membesar dan mengerti kedewasaan itu tidak membesar tanpa didikan dasar inilah buktinya sebuah wibawa

selalu sahaja rindu itu mencatatkan pengertiannya dalam rasa yang rahsia meski sering diterjemah dalam aksara yang kucuba indahkan dengan kata inilah buktinya warna cinta tak sunyi makna

yang diinginkan warisan cinta biarlah perjalananmu bertitik sukmanya sentiasa berdegup biarlah perjalanan anak-anak memaknakan segala yang rahsia.

Riverside Majestic Hotel,
Kuching.
17/6/2013

Elegi Perjalanan



- Ingatan buat Rosnah Awang

Seorang yang pulang
tidak kembali ke sisi suami dan puteri...
saudara dan taulan rakan
menggenggam hanya harapan
bertemu sebagai tamu
tak kelihatan tabah
sirna suara dan indah sapa

Hanya mengerti sebuah perjalanan
sebagai bakal dan bekal
tak ada rantai sering diintai
kelibat serta tingkah
segala langkah tertib dan salah
setelah bara dibungkus perenungan
hakiki hakikat mengurus makrifat
dalam perit tak putus syahadat
merafak ampunan yang lewat
sebelum terlambat dan tak sempat

Engkau pamit
engkau damit, di kolah mataku
dialun rentak puisi-puisi sunyi
alun muzika alam yang cukup diam
menyatu hari-hari lalu
beralih arah engkau mendahulukan
atau susulan yang lain
beransur-ansur hampir kepada semua
yang akrab yang dekat yang mengikat
sayang sahabat
rindu kekasih
sedang Kekasih yang abadi
lebih memiliki.

Kuching, Sarawak
17 Jun 2013

TAMAN-TAMAN IKHLAS



TAK kelihatan kelibatmu apatah lagi mendengar suara. lahir dari rahim iman penuh tulus. membesar pada setiap degup kalbu. berhasil jernih jiwa tanpa mendamba balas. sedangkan tak sedar sesuatu telah jelas. niat nan luhur berganda subur. seperti menyemai benih, tanah tak kenal penyemai, benih-benih bercambah, berakar dan membesar, menggalah dan berbuah. siapakah yang menanam pokok ini?"

SUMAYYAH ZHUFAIRAH



Setelah datang memberi riang
kubaca mulus cahaya yang tumpah
dengan kesyukuran

Damai sampai
bayu senja mencecah daunan
beburung diam mendengar tangisan

Menyambutmu cinta menyala
kebanggaan suri kemenangan
sunyi pecah di rahim semesta

Embun terbang mengkhabarkan
awan indah mengepak sayap jelita
meski iqbalku memilih sumayyah

Gebar rahsia-Nya mendebar sukma
indah dalam uji bahagia dalam uja
pendamping maya jambatan syurga.

Rumah Puisi Hasyuda Abadi
Gudon Sepanggar
1/1/2014.

Melupakan Luka



Berlumba-lumba mengangkat amanah di hadapan bangsa. Berlumba-lumba menyirat makna di mata asyik warga. Berlumba-lumba menyanggah menguji pekerti dan lantang bersuara.

Kadang-kadang dalam radang tak bersudah menang. Benarnya benar kerana berada di tengah selesa. Betulnya betul kerana kebetulan telah mengalir sebagai lazim kehidupan

Ingin meranum wawasan semakin berkembang mahu dengan sengsara mencari bahagia warga terus dipandu memacu tangkas. Kadang terus sahaja berlaga melagukan ayat-ayat rakyat entah di mana hentinya tak kelihatan isyarat

Sedikit berundur di belakang lebih geliga menyaksikan para hulubalang bersilat waham dan faham sambil bertindih-tindih rahsia bersembunyi satu persatu diperagakan tanpa bosan

Saksikanlah zaman moden zaman edan tatkala semua berlumba-lumba berjuang menjuarai kemahuan melupakan luka milik siapa.

 KOTA KINABALU
 07/01/2014

Sukma Hujan



Awan-awan memilih diam ketika bumi dingin dihuni kelam.
Hujan sedang dianyam tanpa pelangi. Ketika rindu.

Suara yang hinggap di atap rumahku umpama sapamu.
Damai dan diam. Asyik memanggil masa lalu.

Begitu mahal suria membelah alam kerana menunggu
telah lama padam. Hanya setia bagai awan-awan.

Sebentar lagi hujan menjadi hamparan tikar di danau sunyi.

Kg Gudon
Kota Kinabalu
060114