20 Jun 2009

Iman Yusof

Kuingin didodoi demi iman yang melahirkan semula peribadi,
biar hanya kutahu warna silam itu habis bersih disapu wuduk
mengalir jauh menyeberangi segala istana, biarkan sunyi menjadi
ujana dan taman-taman taqarrub sayup
biarpun pedang khalid memenggalnya. Telah usai peperangan
di medan diri bertunas iman Yusof yang sabar.

Wuduk


Telah terbentang matahari wajah dan segala indera
demi mensyukuri nikmat serta anugerahMu. Selepas
sujud kuredha segalanya dunia dan hari akhirat.

Tahajjud


Wangi malam-malam syahdu, tak terhenti sepi,
semakin sunyi menyatu diri, mendambai
raja' pengabdian.

Sebuah Peribadi


Saat kupergi kau tak pernah merasai sebuah masa lalu berlalu, mesti telah diabadikan dalam ingatan yang khatam di benak malam, sentiasa utuh meski disebabkan patuh ketika kupergi kau hanya berlalu bersama arah yang kekal biarpun keabadian sirna di lahad Cinta-Nya kerana ia lebih bahagia dan sempurna.

04 Jun 2009

Selepas Wida

Sayu kutinggalkan dengan azam saat wida merelung makna taqarrub. Di tanah haram ini harumnya menyatukan rindu, tak habis sepadat zam-zam yang kuteguk selepas tawaf dan solat. Saat berjuang dengan khuduk masih nikmat wangi hajar aswad dalam suci putih ihram. Allahuakbar! Sungguh agung-Mu mensuci kalbu.

Masjidil Haram,
Mekah.
31/5/2009.

Raudah

Izin-Mu jua membuat kutiba
menyahut lambaian ziarah
dengan khuduk mengakrab salam
Rasul Junjungan

Menjadiku lebih cinta
mekar dalami sujud memuji syukur
cair segala diam lebih qiam
tatkala leih hampir hadir zahir

Taman-taman syurga
kudamba hadirnya di hari muka
menghakis segala dosa
pintu khusyuk mengagungi-Mu
Allahuakbar!

Masjid Nabawi,
Madinah.
25/5/2009

Di Bumi Nabi Kalbuku

Telah tiba di bumi Nabi Kalbuku
menjejakkan rindu dan cinta
labbaikallah humma labbaik
labbaika lasyarika lakalabbaik
dalam bahasa doa sejahtera
suci kota bukit bukau
memukau makna

Telah tiba di bumi Nabi Kalbuku
melangkah masuk ke rumahNya
Nabawi bertiang putih
berpayung kubah hijau
melebur cinta
Maha Agung

Telah tiba di bumi Nabi Kalbuku
menelusuri saf-saf mengakrab
satu azam satu arah satu warna
kenal bahasa sapa salam
cermin Islam

Telah tiba di bumi Nabi Kalbuku
ziarah pancar sejarah
memautkan riadah salafi
khusyuk mengalirnya tawaduk.

~ Hasyuda Abadi ~
Masjid Nabawi
Madinah
25/5/2009