09 November 2011

Jangan Biarkan Lidah Menulis

Jangan biarkan lidah menulis lagi
mengukir bait-bait pahit
waima memekik dan menjerit
jika hanya derita
berapung di lorong-lorong
jiwa yang kosong
rawat rawa-rawa jiwa
di dalam rumah
sungguh riwayatmu tidak di sini
ketika digenggam dendam
rakus meraut lidah

Jangan relakan lidah menulis lagi
hingga enggan membezakan
wibawa dan getus kecewa
baik petik buah-buahan segar
dari pohon batin yang mekar bugar
setanggi cinta mengaroma
ramah cahayanya
di ufuk mata

Jangan relakan lidah menulis lagi
andainya bait-bait menjadi puisi
biar terserap ke seluruh ceruk nadi
meredup cuaca jiwa
bagai hijau daun-daun danau
yang sempurna
didukung kukuh akar-akar
yang sabar

Jangan relakan lidah menulis lagi
demi zulmat yang menenggelamkan hati!



Wilayah Persekutuan Labuan

1 November 2011

Mengangkat Pengalaman


Menemukan sesuatu yang baru bermakna mengangkat pengalaman meski bukan bererti sempurna, peristiwa itu luka kerana pengajaran tidak mekar pada kelopak yang sama, insan yang leka dan insan yang peka melalui liku-liku yang berbeza, aras sedar kadang dipancung oleh pedang alpa, meninggalkan mayat khilap sukar diwangikan maaf. Maka terhidulah aroma yang tempiasnya membasah, mengapa tak pernah dicontohi hari-hari yang sering memandangmu, bagai bayang pada cermin yang selalu berkata dan mengingatkan, sayang segalanya tanpa suara, akal dan pengalaman tak mahu membezakan kebenarannya.

Pustaka Iqbal Nazim,
Taman Putera Jaya,
Telipok, Sabah.

10 Oktober 2011

Bersiap Silap

Siapakah yang siap dan semata-mata memilih silap? Ketika ini dirimu dipenuhi warna diam, muhasabah memeriksa diri lewat cermin masa lalu, belajarlah daripadanya seperti terdengar sapa pandangan, padahal segalanya berpaksi pada saksi diri. Akal yang siaga juga mengharapkan ikatan yang utuh, tanpa diketahuinya bagaimana ikatan itu disimpulkan. Bersiap bererti bersedia untuk menerima faedahnya, ketika berada di bawah fikiran perlu ke atas dan pandanglah lebih awal rahsia perjalanan, asalkan kau tahu puncak jaya bukan kerana telah sampai di atas tetapi melupakan silap selepas siap mendengar suaranya dan bersedia siaga menghadapi masa lalu yang baru.

Pustaka Iqbal Nazim,
Taman Putera Jaya,
Telipok.

11 Oktober 2011

Ayat kepada Kalbu


Tulislah sebarang kata yang membuatkan jiwa suka. Bagai mendaki laut, bisikmu mengagumkan, semakin dalam puncak dasar semakin berbicara kemahaluasan jiwa. Ombak mencintai badai tanpa luka, hayati ayat-ayat yang terdampar, warna suara yang berderai tapi tak pernah pisah, bersahutan dengan satu. Bahkan camar selalu melamar kebiruan yang tertulis keagungan-Nya, bulan dan segala hidupan kagum, takkan habis tertulisnya rahsia percintaan, demi indahnya citra yang mendegupkan kalbu. Tulislah sebarang kata tentang tabah dan keluhuran, bagai butiran pasir yang bersatu menyambut salam dan setia mendengar deklamasi bayu, muzika sukmanya.

Pustaka Iqbal Nazim,
Taman Putera Jaya,
Telipok.

12 Oktober 2011

21 Julai 2011

Batu, Abu

Aku tak fikir kau cukup bahagia. Selain semakin batu juga abu. Api telah mengunyah segala. Kau tak ada apa selain papa dan keberanian yang buta.

Aku tak fikir bahagia kau punya. Ketika kembali lihatlah batu dan abu, betapa payah menyesal sebelum bermula.

Kota Kinabalu

Pisau

Menjadi burung, dan kau ingin berlari ke segala gunung,
ingin jua mencapai awan-awan.
Dan aku telah menjadi burung,
matanya! Kau risau mataku
menyaksikan! Kau risau
menghadapi pisau.

Pustaka Iqbal Nazim
KOTA KINABALU

13 Mei 2011

Negeri Persaudaraan

Negeri yang bergelar persaudaraan
menggenggam gelombang dan melumatkannya
berlari riang di padang-padang pantai
terbentang lautan menatap keagungan
menadah restu kesyukuran
tetap kubaca bukit bukau dan embun yang ramah
seperti madah ayah di musim payah adalah bahasa kehidupan
tak dapat dikembalikan seperti juga dodoi
ibu meratib doaseluruh negeri memelihara amanahnya
kini derai air mata tanda bahagia bertahtamata
cinta lebur mengalir di sini
negeri persaudaraan yang harmoni.

HASYUDA ABADI,
Tenom, Sabah.

12 Disember 2009.

Setitis Air

setitisair itu gugur
menjadi gelora lautan
bumiku sebuah tanah air
yang mekar dulu kini mula diajar
berduka. tak ada sapa yang tersembunyi
bahkan kata-kata besar telah lebur
dimamah amarah
keramat sejarah bernanah
kemudian bangun
manusia durjana itu mula
mengulang sikap silapnya
memomok bangsanya sendiri.
menjadi duri
di hati-hati kami. setitis air
yang gugur dari gelas bangsaku
memandang dari bawah retaknya
agar tak sampai terbelah seperti yang dinanti
musibah orang-orang yang girang
di menara memandang payah
menerima pa d ah

Tenom, Sabah.

08 Mei 2011

Berikan Aku

berikan aku kertas dan pena
ideaku sedang tumpah
kini berikan aku blog dan facebook
ideaku mencurah-curah buatmu mencari cerah
membelah kabut hujah seranah menginai rahsia makna bicara

berikan aku cinta
ideaku semakin membara melerai citra peristiwa
dibeku firasat ideologi sesat
berikan aku segelas waras
untuk kuteguk menjadi jelas
sebuah idea yang sedang kukupas

kata seseorang di luar sana
berikanku kuasa
hasyuda hanya menggelengkan kepala...

KOTA KINABALU
25 November 2010

Melepaskan Serigala Kata

Telah puas kelana mewarna senja
kutanggalkan peristiwa masa sudah
tanpa membawa seurat benang masalah
kerana kuterus bangun bersama wibawa

berlalulah kesedihan dan sepi
saat kusendiri mengurus kata-kata dan diksi
mengolah makna larut menterjemah peristiwa
yang membesar tentu sahaja kelemahan
yang segar tersimpan kebahagiaan kebaikan
disimpan Tuhan

mengapa mengalah dan menjadi putus asa
terokalah kehidupan yang tersisa
takkan gusar selain sesal mengendara usia
dipacu serigala
bunuh sahaja dan tanamkan di perut insaf

diingat kerana kebaikan atau salahnya kita
melupakan waspada, bila terkena barulah mencari
salah dan mengadun seribu sangka
kebaikan itu tak ada batasnya untuk diingat
tanpa mendengarnya kerana hanya Tuhan
berhak menghargakannya

sebuah puisi yang bakal lahir
dibuai zahir dan fikir
ketika berakhirnya langkah kau masih lupa
untuk waspada melepaskan serigala kata!

Kuching
4 Disember 2010

Bercerita Tentang Kampung

(Dedikasi: Subarjo Durasit, Sukar Kantong, Monsu Gudon, Asiah Abu, Basir Sukir, Zaini Surat, Jamali Mardi, Ramlan Ag Adi, Datuk Surinam Sadikun, Grey Sampungol, Yakub Pg Jaya, Mahmud Tamin dan kawan-kawan bocahku yang lain)

a
Aku ingin menulis tentang kampungku
tak ada lagi selain awan-awan yang berlalu
seperti ingatan yang sering datang
ketika ku bertandang
kubawa anak-anak dan isteri
melihat sendiri
inilah leluhur yang pernah mahsyur
riuh rendah warga penoreh getah
injin kilang dan rel membawa muatan,
tersergam kini sebuah jambatan baru
namun sungai di situ telah pergi
jernih air hilang diganti keruh,
oh aku rindukan kawan-kawan bocahku
terjun dan mandi dari atas jambatan kayu
main 'bubut' sungguh riang tiada malu
tak kira remaja bergender apa,
rindu mendengar abang-abang bermain gitar
kugiran menggegar irama 60-an
dari kongsi pekerja hingga di panggung besar
di situ pernah puisi kugema
di situ jua para warga ladang berpesta
menghibur hati di puncak bulan,
di mana segala telah berlalu
le' mardi yang sering memotong rambutku
wak senggong yang digeruni budak-budak
silat kek mujiarto jangan silap gendang gamelan
nenek ag anak gagah di padang bola
makcik tiara bijak berpantun berjoget malah
le' karmani memimpin paluan hadrah
sentiasa sasa nyaring suara mengkhatam berzanji
serakalan dan bermarhaban
dan satu yang tak kulupa ketika bapa mengejar
kerana mencederakan muanam jiranku
juga ketika ku diarak seperti mempelai
sebagai tanda usia mencecah baligh,
oh segalanya telah tiada
ladang getah berubah wajah
ladang sawit menggamit bukit
tiada lagi aroma susu getah atau sekerap
kini berganti ciri
warga negeri beralih pergi
warga asing mengambil tempat,
aku ingin selalu menulis tentang kampungku
meski telah berlalu citra bocahku
diingsut waktu dicengkam usia.

LUMADAN BEAUFORT
6 FEBRUARI 2011

05 Mei 2011

Mengakar Jihad

Kau tembak suatu sukma
tanpa makna kematian
biar sejuta jasad gugur
di mana jua mereka tersungkur,
hanya jasad,
dan sukma menjadi penghulu
mengepalai perarakan,
semarak seluruh jagat
berkibar matahari
mendegup tunjang bumi
langit memutar awan-awan kelam
relung cahaya menyirat wajah
mengakar di kalbu, jihad!
di situkah wajah riangmu
kematian dan kebangkitan
terus memburu?Khabarkan kepada dunia
ketika menawan maruah
sebenarnya di situlah tewasmu
menanggung beban kebebasan
tak pernah rebah
membahangnya cahaya dan cinta,
jihad!

PUSTAKA IQBAL NAZIM
2 Mei 2011

Pandangan Perjuangan

Selepas kau membunuh dan kau terlepaskerana perjuangan katamu dan mereka yang berada di dalamnya menulis sejarah inisebagaimana masa akan datang membacanya semula dengan pandangan yang berbeza daripada makna juang yang berjurang

Generasi masa depan akan menghakimi apakah masa lalu kita sebuah sejarah atau gemuruh luka tercipta menjadi citra yang diperagakan atas nama perjuangan. Mereka berkata pejuang tulen adalah insan yang membebat lukanya tanpa zaman kerana sejarah manusia tak pernah berbeza, berulang meniti peristiwa demi peristiwa, hanya kebenaran menghentikannya bukan sekarang bukan masa depan kerana ketikanya tak pernah diberitahu Tuhan.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

12 April 2011

Berlari-lari dalam Bungkam Kenangan

Kuingin melihat kau berlari-lari di pantai mengejar riak dan rentak ombak datang dan pulang pulang dan datang tawa dan kegembiraan dibuai sapa angin dan udara merakam seribu satu nostalgia memberiku sebuah bahagia

Ya, kau berlari-lari dalam bungkam kenang bagai sebuah panorama serba warna masih juga kau memintaku menulis lagi ragam nazam membentang puisi sebagai lagu merdu semerdu deru bayu yang menyentuh kalbu wangi menusuk segala saraf damai ditalkinkan seluruh kian hidup segar bugar tak mungkin redup

Lebur yang maha abadi subur wangi mawar biarpun berduri bagai jelita tak pernah menyerah pada hari kau utuh memapar sapa meski telah tiada jauh abadi kau utuh mengintai suasana di celah-celah langsir usia mencarimu bukanlah sengsara pintu dan jendela memandangmu bahagia

HASYUDA ABADI,
Kota Kinabalu,
8 Februari 2011.

Disolek Jujur

hindari berang basi
bicara biar syahdu
tegap ilmu mengangkat seribu cinta
selamanya berang di hujungnya layu,

usah biarkan gahmu pada tajam keris
hanya dengan santun bercantum berani
benar juga mesti jangan heboh hebah,
menggelabah

mengata disolek jujur
kerana prasangka sering gagal
jika betulnya merinai bebal
hebat bersorak
yang tergadai tanah sendiri
para pahlawan hilang taji.

Binsuluk,

Membakut.

27 Feb 2011

Pernah Ada Sahabat, Apakah?

bertanya kepadamu
apakah pernah ada sahabat darimu
atau kepadaku kepada sesiapa yang baru
bahkan kepada sapa tanpa wajah
tanpa suara melainkan kata-kata

bertanya kepadamu
apakah nilai
dari uraian wangi dan warna
huraian bahasa dan kata
mungkin hanya indah bermadah
sekadar cantik hiasan hanya

bertanya kepadamu
apakah pernah ada sahabat
yang tak pernah berjabat
hanya pada ungkapan hebat
pada potret kaku bernama seribu
menyebab rindu memburu
dan berakhir tersipu malu

Grand Margherita
Kuching

22 Mac 2011

Wira Jiwa

apakah kau membaca sajak-sajak tenunannya benang-benang makna diperindah bahasa bagai busana yang menghias gadis sutera santunnya tapi aku selalu ingin membacakannya pada segala badai pada damai awan dan gunung ganang di bawah purnama bulan katakan apa sahaja jika benar yang meranum di halkum rimba bicara atau merdu lagu-lagu sepanjang alur sungai diam geraknya di jiwa zahir pada wajah tenang menjadi lebih wira berani meneroka arah renunglah sukma sajak-sajak mengajakmu segak tapi tidak berlagak lebih baik memilih lembut santun daripada meriwayat masa sudah yang luka kerana sejarah tidak akan mengubah peristiwa selain mengulanginya Grand Margherita Kuching 24 Mac 2011

Umai dan Inava Santapan Citra

Santai menikmati umai mengisi sunyi kota bicara pilihan dan insan mula kembali bermain kata mencongak angka mengenang dosa masa sudah dan kemenangannya, mungkinkan berulang peluang pulang? menjamu umai dan bebiji sagu seakan inaba di desa-desa ulu terurai riuh cerita dahulu tentang tikaman belakang berkata benar siapa bersalah pula apakah dia? semua peristiwa diolah citra sengketa tak sudah-sudah, umai dikunyah biarlah mentah bebiji sagu diratah mentasir seribu satu ulah rentak nafsu yang sering ramah memberi api dilontar amarah kenyangkan dendam dicurah. Mukah Sarawak 4 April 2011 *Umai - sejenis makanan ikan mentah sama seperti inava di Sabah

14 Mac 2011

Februari, sebuah puisi

(elegi buat Umi)

ia berlalu seperti bayu
selalu menyapa meraih pilu
sungguh tak luruh biar detik berlalu

bukan lagi sebuah sedih
hidup perlu berharga, dia telah pergi
tapi tak pernah pergi, sentiasa gemerlap
cahaya sebuah rahsia, jendela kalbu
memberi bisik, doa dan setia
sentiasa berputik

hari-hari mengilham makna
betapa dekat saat jauh
betap hebat dibebat rindu.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

17 Januari 2011

Memberi Luka Itu

: peristiwa Interlok

kau memberi luka itu, dari celah-celah dalang para petualang
berang tak kenal mitos atau sejarah telah dikhabar sumbang
bengkak meranum di hati membakar nadi berdegup kencang

berlagak wira mendabik dada membangun bangga
deru bayu tidak lagi sesempurna erti merdeka
bebas dijalin erti tetapi tidak lebih kepada prasangka

kalian hanya tahu air tapi tak pernah menyelami dasarnya
kalian hanya kenal padang tapi tak pernah berlari pada keluasannya
kalian hanya kenal matahari tapi tak pernah bersyukur keindahan pada cahayanya

kau memberi luka itu, di genggaman bijak hanyalah domba
diperaga gelanggang sengaja menggoncang-goncang percaya
harmoni hanya senjata lidah tetapi menduri di hati akarnya.

Pustaka Iqbal Nazim,
Taman Putera Jaya, Telipok,
Sabah.

16 Januari 2011

16 Januari 2011

Sebuah Kota Diri

: kepada seorang tua yang sering membawa dirinya

telah lama sajak ini ingin kulukis di atas kanvas hidupmu
wajah yang kukenal sebagai perjalanan yang tidak difahami
apakah yang dicari? tak habis hari-hari, malam berubah siang
musim-musim mengalih tahun dan zaman, tak ada catatan
dalam fikiran atau menunda keinginan masa sudah
kerana bercerita hanyalah suatu bahasa yang memikat
tak mungkin mengikat untuk mendekat
menyebabkan sebuah kehidupan berjalan dan berlalu
melihatmu seperti selalu dan biasa

kucari sebuah ceria tapi tak mungkin mampu lagi dikutip silam
telah kaueram dalam denai diam
sebahasa usia kau lewati syurga atau neraka sama sahaja
orang-orang bagai lalang-lalang di padang-padang
atau ikan-ikan yang berjasa di kolam dan sungai kehidupan
jika yang menghulur belas ehsan benar-benar ihsan
merekalah, jika yang menghulur geram sirna rasa sayang
merekalah, yang hanya faham kesempurnaan
kau bukan sebuah keperluan

degup bandar raya terwarna oleh denyut serba mahu
tapi kau tak akan mengejar walau seinci
tak juga ada getar debar mengajak interaksi
biarlah lelah letih di atas ranjang jalanan
dan deru mobil jadi hiburan
lampu-lampu malamnya penyeri kota diri
siaga untuk esok hari-hari menjarakkan mimpi
berjalan lagi ke destinasi tanpa peduli
matahari akan datang lagi.


Bandar Raya Kota Kinabalu,
16 Januari 2011
.

03 Januari 2011

Syahzierah Syahfierah

(Anak-anakku)

Saat terjadinya ketiadaan kalian kehilangan, dalam kedu terkenang pengalaman ketika kecil, akrab kita tak pernah terubah, biar tengkar kerap terdengar kerana itu lumrah seperahu, lautan ini terbentang geloranya tapi nahkoda ayahmu tahu hala dituju.

Telah bersemi wajah yang tak terbaca kecuali yang membinanya, jika yang datang hanya sebuah pandangan, jika bicara sekadar kata-kata biasa, hanya sering diingat keperibadian, ia terjadi sebagai sebuah jati diri, jangan alah, berjalanlah atas landas tabah, abaikan kerenah manusia kerana mereka tak kan kenal segala rahsia-Nya.

Taman Puterajaya,
Telipok.

3 Januari 2011

Tahun Baru

Selamat pagi yang pertama, titisan embun yang pertama gugur, nikmat dingin yang awal, sinar ufuk yang ulung, sapaan mula melafazkan memori baru dan sebentar lagi berlalu detik demi detik dan waktu menanggalkan pakaian usia, tinggal bijaksana memilih busana terindah, menjadi tadi berlalu lagi menjadi petang berengsot menyusur senja dan malam dan hari ini berganti sebagai masa lalu seperti kelmarin, di manakah dirimu?

Tak ada doa awal tahun hanya gema dan keriuhan, bunga-bunga kepanasan di udara, aksara azam berserakan di padang-padang atau meja-meja santapan, semerbak cologne memancar ghairah di puncak-puncak kota, damai di anjung pantai di desa dihias mimpi-mimpi berseloka, tak habis dan tanpa sebarang tanda bermula, kebiasaan berakar, tanpa doa tetapi harapan, tanpa doa tetapi kemahuan, tanpa doa detik tak menunggu keinsafan.

Tenom
1 Januari 2011

Gizi Zaman

(Dedikasi: Datuk Haji Mohd Ariffin Arif)

Kau hanya mengenal Haji Saman dan Pak Musa diagungi sejarah dan Membakut semakin benar untuk membesar hidup bagai pucuk-pucuk awan saat terbentang matahari namanya mula bergema alif

Membakut disebut arif, arif didendang alif biar dondangan ini merakyat mengakrab ariffin yang jernih mengalir menjunjung khalifah bumi

Alif di hadapan berkumandang nikmat yang telah tumbuh wira yang resahnya di jiwa baktinya merujuk dambaan berkurun abrar dijanjikan Tuhan makmur madani memaknakan arif

Pada alif yang arif di sebut alif pada arif demikian terpandang gizi zaman mula terbelah sukma
telah bermula rukun kehidupan mahmudah memartabat mahabah.

Membakut-Sipitang-Tenom
31 Disember 2010