Telah puas kelana mewarna senja
kutanggalkan peristiwa masa sudah
tanpa membawa seurat benang masalah
kerana kuterus bangun bersama wibawa
berlalulah kesedihan dan sepi
saat kusendiri mengurus kata-kata dan diksi
mengolah makna larut menterjemah peristiwa
yang membesar tentu sahaja kelemahan
yang segar tersimpan kebahagiaan kebaikan
disimpan Tuhan
mengapa mengalah dan menjadi putus asa
terokalah kehidupan yang tersisa
takkan gusar selain sesal mengendara usia
dipacu serigala
bunuh sahaja dan tanamkan di perut insaf
diingat kerana kebaikan atau salahnya kita
melupakan waspada, bila terkena barulah mencari
salah dan mengadun seribu sangka
kebaikan itu tak ada batasnya untuk diingat
tanpa mendengarnya kerana hanya Tuhan
berhak menghargakannya
sebuah puisi yang bakal lahir
dibuai zahir dan fikir
ketika berakhirnya langkah kau masih lupa
untuk waspada melepaskan serigala kata!
Kuching
4 Disember 2010