12 November 2010

Pencinta

telah lama kulalui badai hidup iktibar insan
kupelajari setiap lembar yang dibaca

andai inilah pertemuan yang tak pernah wujud
kita akan melalui pertemuan-pertemuan lain
kerana sunyi sering memberikan kenderaanya
membelah jalan-jalan yang meriah dan riuh

riuh sunyi terhasil rasa yang selalu rahsia
kita menjadi lebih waspada melepaskan tali uji
meredah payah dalam pelayaran yang masih koma
mengintai benar peristiwa tersimpan dengan setia

ini matahari cahayamu yang kembali
dalam bayang-bayang resah menolak rasa goyah
wangi bunga hati bergema berapung dalam minda
pilihlah jalan-jalan kebaikan untuk bertemu pencinta

cahaya telah lama berakar demikian benar
keagungan itu telah menerimamu pencinta sabar
kau semai cinta di dadaku tak mungkin terabai
junjung keberanian tabah menjulang niat tercapai

Sandakan,
Sabah.

11 November 2010

Asmaraloka

tak pernah lagi ku memandangmu
hanya panah kalbu yang menusuk kepadanya
membelah langit pawana

tatkala akan terbentang permaidani
kuberlalu dengan sebuah diri
yang memerdukan suara paling rahsia

apakah ada sebuah persitiwa yang
lebih dekat menelan indahmu cahaya
kian berkembang menakluk gelora?

kau berada di pandangan yang menjelma
berhijab di sebalik sutera asmaraloka
beradu di baldu singgahsana

ingin kupandang segala rasa
hanya kutahu semuanya sempurna
terkunci di kamar hamba

sebuah diri yang berlari-lari
menatapmu dalam lamun masa lalu
menaklukmu dalam sulam seutuh kalbu...

Sandakan,

Sabah.