06 September 2022

KESEDIHAN YANG AMAT SIA-SIA MEMANDANG SEBUAH TAMAN

Saya hanya suka berkata bahawa sebuah wibawa itu bukan sebuah beban. Mengapa berasa beban ialah kerana tiadanya keikhlasan, hilangnya nikmat sebuah amanah sambil amanah semata bagai bunga yang indah dan' menjadi hiasan.


Di situ gahnya diserlahkan matlamat sebesar dunia telah disebarkan berzaman tak perlu bicarakan masa lalu andai masa kini hanya sebuah taman yang tidak lagi kelihatan kelibat rama-rama.


Taman ini ingin dikenali dengan apa? Ujana yang berkeliaran dibawa oleh keinginan lain membiarkan yang telah lama diam itu selamanya diam.


Katamu sesekali diramahi dan kau menyahutnya dari kerah giat sentuhan orang-orang dari negeri awan. Apakah itu yang dibanggakan? Idea bagimu seperti suara yang tiba tanpa perlu berkerah fikiran.


Saya meraih duka yang amat panjang. Apakah akan hilang sebuah syurga bagi pejuang-pejuang untuk sebuan taman yang membina lebih ramai pejuang keindahan jati diri dan santun hati budi?


Saya melihat sesuatu yang sia-sia dan kesedihan yang amat sia-sia.


Perpustakaan Negeri, 2018


(MUSIM PERUBAHAN DI NEGERI KAMAI, IRIS 2021, m.s. 90-91)

 

HUJAN ii

Nasyid sukma berkumandang. Telah tenggelam bisik cengkerek. Kedekdekek kodok tadi berlompatan sekarang hilang. Tak dapat disusun nota air yang gugur ini. Bahasa basahnya sukar difahami. Dingin meruap bersama wap. Pokok pisang diam seperti adanya, daun-daunnya melambai. Adakah rindu itu? Hari ini tiada guruh. Awan-awan menguntum. Jalan-jalan mengumpul makna gusar dan risau. Parit dan sungai kecil mula menerima kunjungan setia. Tanpa sapa, ini sukma lagu musim, nasyid hujung yang mencabar makna cinta dan tabah asa.

RupHA
22/8/2021

PERKHABARAN MENELAN PERISTIWA

Mengarifi sensitiviti mungkin dianggap remeh. Ada kepuasan yang sedang menunggu dan perlu diserahkan. Sebelum terjadi peristiwa itu, ia bagai busa air yang sedang mendidih. Kesabaran untuk tumpah sangat maksimum. Lantaran itulah banyak perkara asas terlepas. Sehelai kertas telah berada di depan. Tontonan pasang mata. Ombak ingin tahu mulai bergelora. Saat menyebutkan satu demi satu isi di atas kertas, tiba-tiba akar sabar tercabut. Awan biru jadi kelabu!

Mungkin kau ingin memutar semula peristiwa ini agar awan-gemawan kekal membiru. Alam damai. Burung-burung berpuisi. Bunga-bunga mekar. Semua sangat membantu dunia memberikan sesuatu meski ia merupakan hal-hal yang rutin. Mungkin ini lebih baik ketimbang ribut yang tidak mengembirakan. Cuaca manusia yang sukar dipulihkan.

Lihatlah apa yang terjadi. Mungkin ada khabar baharu yang bakal membawa kebenaran. Mahu atau tidak, semua harus berjalan. Muhasabah dan keinsafan membawa kembali masalalu yang berlaku. Soal hati yang terluka. Kata-kata atau tingkah yang tidak membina akal budi manusia. Saat berasa benar tidak dapat dibantah. Ketika kau berfikir satu-satunya pemimpin yang sangat sempurna.

Akademi Rupha
17.08.21

CAHAYA HASYUDA

: Ain mawaddah 

Kudengar sayu burung-burung pagi bernyanyi dan embun telah tahu dingin akan diberikannya sehinggalah suria menggalas tugas memberi cahaya.
 
dari alam yang terbentang dan denyut kehidupan kita sentiasa diusai degup makna lahir tanpa sengaja setiap detik awan indah akan terbentuk  dengan hati merasa bahagia kata-kata telah kubina sebagai  cahaya dan warna.
 
jika ia berharga hargailah sesempurna rasa biarpun rahsia dan kita lebih rela tidak menjadi sesiapa  kecuali sebuah cinta ia telah mengalir bagai lahar meratah ke bumi diri subur membaja maknawi perkasihan merasai keberadaan ini lebih sempurna.
 
peristiwa telah dipelajari harum bersama pengalaman demi iktibar yang disampaikan merenggut segala duka hanya kuberikanmu kasihku untuk mengesat sepi bertahta jika terukir janji, inilah kalimat azimat kubekalkan pada hayat selagi ia bergerak memandu perjalanan hakikat setiamu hanya hasyuda  membenamnya di dada erat.
 
bangunlah kekasih dari lamun panjangmu hasyuda hadir seluruh relung zahir tidak di bibir jika kau buka dadaku bacalah adamu telah lama hadir.
 
Rumah Puisi
Hasyuda Abadi (RupHA)
Sepanggar Sabah

BERSAMA AWAN

 - Norjannah MA 

Begitu dijanjikannya meyakini
saat tiba juga akhirnya, tidak usai usia
tanpa ujian, betapa kerdilnya insan
dari keagungan kun-Nya.
Tak utuh jasad, pasrah di seluruh raga
mengakui ada pertolongan lebih diyakini
sumur doa menakung raja' kalimah-kalimah syurga.

Pintu itu telah menyala cahaya
petunjuk tuju, mungkin ada alpa tak sempat
dibuka, mulus tulus menemui isyarat.
Mungkin kau bersama awan
dan embun memeluk kalbu nan indah
Rabb pautkan kekuatan pemilik sayap jelita.
 
RupHA
5.5.2017
8 Syaaban 1438

04 September 2022

SETELAH KANAK-KANAK ITU DIHUMBAN

 

Terbentuk cahaya yang amat cantik. Semua gumam. Pokok-pokok gumam. Burung-burung gumam. Awan dan matahari gumam.

Kecuali aku.

Sesuatu menjelma dari cahaya yang terbongkar di celah bangunan. Petang itu dipasung. Salinan hari yang lain mengubah segala kegerunan
dan ketakutan.

Ia menuju dengan pantas ke arah sekor iblis dari pangsapuri. Sesiapa pun tak mampu melihat bagaimana iblis itu telah merasuk manusia dan merangkul kanak-kanak itu lalu membalingnya
ke udara.

Ada dentuman yang menyebabkan semua kembali normal. Cahaya itu sirna. Iblis dibawa bersamanya. Hanya ada darah. Dan keriuhan yang bersambung.

Bunyi siren serta tular dalam media.

MENUNGGU HAKIM

 

Beberapa hal menerawang di udara yang diam, seribu satu jawaban kepada persoalan dan masalah, jika benar keberanian, begitu bersalah juga harus bersamanya keberanian, yang disaksamakan juga hak, meski bersuara belum bererti sudah terucap fakta.
 
Beberapa hal timbang tara mengupas hujah-hujah, seramahnya membawa mulia jiwa, dari wajah bisa dibaca makna dendam dan amarah atau telah diadun redha dan rela, kesabaran menghijab rahsia.
 
Menanti berada di hadapan dan menjawab segala pertanyaan, beberapa hal harus dipertahankan menyirat tamsil pesona kehidupan.
 
Menanti di hadapan kebenaran mencari inti citra kemanusiaan. 

PENYU BERTEMU SASTERAWAN

 - kepada Sasterawan Negara
 
Pasir ini taman, maka berbondong para penyu singgah,
tidak seperti biasa, kami bertanya dari celah
batang-batang tua di pesisir kuala, hadir mereka
tidak menyajikan kebiasaan.
 
Ada alun suara yang agam - ah! Telah bungkam
tembang syair maulana fakir cinta. Di kuala juga
kedengaran bisikan yang serupa. Burung angkasa
menitip aroma mata suria setelah terikat
di celahan awan-awan lukanya.
 
Suara siapakah yang ditangkap para penyu
lewat jendela samudera? Taman di pesisir
tiba-tiba dihujani rahmah dan mawadah. Setelah
lama berduka seperti awan-awan di angkasa.
 
Dialah nahkoda yang dimunculkan dalam
tembang syair memanggil para penyu hingga
melupakan dunia sebelumnya. Dari jauhari
memahami dondang diam yang berbunyi
sunyinya. Semakin jelas.

BERFIKIR TERBALIK

  

Sering saling berfikir tentang engkau,
dan tentang aku: tak pernah tegap. Pelbagai
rahsia beradu di atas katil khilaf.
 
Dalam diam, aku beraksi bodoh, engkau
beraksi enggan. Sunyi begini ternyata lemah
menadah penantian. Agar berhenti saja fikiran
yang sering terbalik, adalah yang terbaik.
 
Dapatkah dicapai damai andai engkau ke aku,
dan aku ke engkau? Kembalilah ke fikiran
yang benar. Kalau dapat kutarik engganmu
biar santun itu melunaskan.

03 September 2022

ANGKARA ANGKA

Sayembara di persada
saujana memadang raung pekik:
kitalah paling memalingkan impian!
 
Ini kucatatkan satu demi satu
ketika mengembang bunga langit
bunga raya ikut berputik.
 
Bumi bara di tanah parah
dari ulu pecah di hilir patah
menampi lukut hampas tumpah.
 
Segenap jiwa siaga mengasah paruh
anak-anak bangun laju berkayuh
ghairah membawa pasukan meriuh.
 
Beradu angkara angka
siapa yang berjaya mengira
satu persatu menggambar bitara.