06 September 2022

KESEDIHAN YANG AMAT SIA-SIA MEMANDANG SEBUAH TAMAN

Saya hanya suka berkata bahawa sebuah wibawa itu bukan sebuah beban. Mengapa berasa beban ialah kerana tiadanya keikhlasan, hilangnya nikmat sebuah amanah sambil amanah semata bagai bunga yang indah dan' menjadi hiasan.


Di situ gahnya diserlahkan matlamat sebesar dunia telah disebarkan berzaman tak perlu bicarakan masa lalu andai masa kini hanya sebuah taman yang tidak lagi kelihatan kelibat rama-rama.


Taman ini ingin dikenali dengan apa? Ujana yang berkeliaran dibawa oleh keinginan lain membiarkan yang telah lama diam itu selamanya diam.


Katamu sesekali diramahi dan kau menyahutnya dari kerah giat sentuhan orang-orang dari negeri awan. Apakah itu yang dibanggakan? Idea bagimu seperti suara yang tiba tanpa perlu berkerah fikiran.


Saya meraih duka yang amat panjang. Apakah akan hilang sebuah syurga bagi pejuang-pejuang untuk sebuan taman yang membina lebih ramai pejuang keindahan jati diri dan santun hati budi?


Saya melihat sesuatu yang sia-sia dan kesedihan yang amat sia-sia.


Perpustakaan Negeri, 2018


(MUSIM PERUBAHAN DI NEGERI KAMAI, IRIS 2021, m.s. 90-91)