13 Mei 2011

Negeri Persaudaraan

Negeri yang bergelar persaudaraan
menggenggam gelombang dan melumatkannya
berlari riang di padang-padang pantai
terbentang lautan menatap keagungan
menadah restu kesyukuran
tetap kubaca bukit bukau dan embun yang ramah
seperti madah ayah di musim payah adalah bahasa kehidupan
tak dapat dikembalikan seperti juga dodoi
ibu meratib doaseluruh negeri memelihara amanahnya
kini derai air mata tanda bahagia bertahtamata
cinta lebur mengalir di sini
negeri persaudaraan yang harmoni.

HASYUDA ABADI,
Tenom, Sabah.

12 Disember 2009.

Setitis Air

setitisair itu gugur
menjadi gelora lautan
bumiku sebuah tanah air
yang mekar dulu kini mula diajar
berduka. tak ada sapa yang tersembunyi
bahkan kata-kata besar telah lebur
dimamah amarah
keramat sejarah bernanah
kemudian bangun
manusia durjana itu mula
mengulang sikap silapnya
memomok bangsanya sendiri.
menjadi duri
di hati-hati kami. setitis air
yang gugur dari gelas bangsaku
memandang dari bawah retaknya
agar tak sampai terbelah seperti yang dinanti
musibah orang-orang yang girang
di menara memandang payah
menerima pa d ah

Tenom, Sabah.

08 Mei 2011

Berikan Aku

berikan aku kertas dan pena
ideaku sedang tumpah
kini berikan aku blog dan facebook
ideaku mencurah-curah buatmu mencari cerah
membelah kabut hujah seranah menginai rahsia makna bicara

berikan aku cinta
ideaku semakin membara melerai citra peristiwa
dibeku firasat ideologi sesat
berikan aku segelas waras
untuk kuteguk menjadi jelas
sebuah idea yang sedang kukupas

kata seseorang di luar sana
berikanku kuasa
hasyuda hanya menggelengkan kepala...

KOTA KINABALU
25 November 2010

Melepaskan Serigala Kata

Telah puas kelana mewarna senja
kutanggalkan peristiwa masa sudah
tanpa membawa seurat benang masalah
kerana kuterus bangun bersama wibawa

berlalulah kesedihan dan sepi
saat kusendiri mengurus kata-kata dan diksi
mengolah makna larut menterjemah peristiwa
yang membesar tentu sahaja kelemahan
yang segar tersimpan kebahagiaan kebaikan
disimpan Tuhan

mengapa mengalah dan menjadi putus asa
terokalah kehidupan yang tersisa
takkan gusar selain sesal mengendara usia
dipacu serigala
bunuh sahaja dan tanamkan di perut insaf

diingat kerana kebaikan atau salahnya kita
melupakan waspada, bila terkena barulah mencari
salah dan mengadun seribu sangka
kebaikan itu tak ada batasnya untuk diingat
tanpa mendengarnya kerana hanya Tuhan
berhak menghargakannya

sebuah puisi yang bakal lahir
dibuai zahir dan fikir
ketika berakhirnya langkah kau masih lupa
untuk waspada melepaskan serigala kata!

Kuching
4 Disember 2010

Bercerita Tentang Kampung

(Dedikasi: Subarjo Durasit, Sukar Kantong, Monsu Gudon, Asiah Abu, Basir Sukir, Zaini Surat, Jamali Mardi, Ramlan Ag Adi, Datuk Surinam Sadikun, Grey Sampungol, Yakub Pg Jaya, Mahmud Tamin dan kawan-kawan bocahku yang lain)

a
Aku ingin menulis tentang kampungku
tak ada lagi selain awan-awan yang berlalu
seperti ingatan yang sering datang
ketika ku bertandang
kubawa anak-anak dan isteri
melihat sendiri
inilah leluhur yang pernah mahsyur
riuh rendah warga penoreh getah
injin kilang dan rel membawa muatan,
tersergam kini sebuah jambatan baru
namun sungai di situ telah pergi
jernih air hilang diganti keruh,
oh aku rindukan kawan-kawan bocahku
terjun dan mandi dari atas jambatan kayu
main 'bubut' sungguh riang tiada malu
tak kira remaja bergender apa,
rindu mendengar abang-abang bermain gitar
kugiran menggegar irama 60-an
dari kongsi pekerja hingga di panggung besar
di situ pernah puisi kugema
di situ jua para warga ladang berpesta
menghibur hati di puncak bulan,
di mana segala telah berlalu
le' mardi yang sering memotong rambutku
wak senggong yang digeruni budak-budak
silat kek mujiarto jangan silap gendang gamelan
nenek ag anak gagah di padang bola
makcik tiara bijak berpantun berjoget malah
le' karmani memimpin paluan hadrah
sentiasa sasa nyaring suara mengkhatam berzanji
serakalan dan bermarhaban
dan satu yang tak kulupa ketika bapa mengejar
kerana mencederakan muanam jiranku
juga ketika ku diarak seperti mempelai
sebagai tanda usia mencecah baligh,
oh segalanya telah tiada
ladang getah berubah wajah
ladang sawit menggamit bukit
tiada lagi aroma susu getah atau sekerap
kini berganti ciri
warga negeri beralih pergi
warga asing mengambil tempat,
aku ingin selalu menulis tentang kampungku
meski telah berlalu citra bocahku
diingsut waktu dicengkam usia.

LUMADAN BEAUFORT
6 FEBRUARI 2011

05 Mei 2011

Mengakar Jihad

Kau tembak suatu sukma
tanpa makna kematian
biar sejuta jasad gugur
di mana jua mereka tersungkur,
hanya jasad,
dan sukma menjadi penghulu
mengepalai perarakan,
semarak seluruh jagat
berkibar matahari
mendegup tunjang bumi
langit memutar awan-awan kelam
relung cahaya menyirat wajah
mengakar di kalbu, jihad!
di situkah wajah riangmu
kematian dan kebangkitan
terus memburu?Khabarkan kepada dunia
ketika menawan maruah
sebenarnya di situlah tewasmu
menanggung beban kebebasan
tak pernah rebah
membahangnya cahaya dan cinta,
jihad!

PUSTAKA IQBAL NAZIM
2 Mei 2011

Pandangan Perjuangan

Selepas kau membunuh dan kau terlepaskerana perjuangan katamu dan mereka yang berada di dalamnya menulis sejarah inisebagaimana masa akan datang membacanya semula dengan pandangan yang berbeza daripada makna juang yang berjurang

Generasi masa depan akan menghakimi apakah masa lalu kita sebuah sejarah atau gemuruh luka tercipta menjadi citra yang diperagakan atas nama perjuangan. Mereka berkata pejuang tulen adalah insan yang membebat lukanya tanpa zaman kerana sejarah manusia tak pernah berbeza, berulang meniti peristiwa demi peristiwa, hanya kebenaran menghentikannya bukan sekarang bukan masa depan kerana ketikanya tak pernah diberitahu Tuhan.

PUSTAKA IQBAL NAZIM