09 November 2011

Jangan Biarkan Lidah Menulis

Jangan biarkan lidah menulis lagi
mengukir bait-bait pahit
waima memekik dan menjerit
jika hanya derita
berapung di lorong-lorong
jiwa yang kosong
rawat rawa-rawa jiwa
di dalam rumah
sungguh riwayatmu tidak di sini
ketika digenggam dendam
rakus meraut lidah

Jangan relakan lidah menulis lagi
hingga enggan membezakan
wibawa dan getus kecewa
baik petik buah-buahan segar
dari pohon batin yang mekar bugar
setanggi cinta mengaroma
ramah cahayanya
di ufuk mata

Jangan relakan lidah menulis lagi
andainya bait-bait menjadi puisi
biar terserap ke seluruh ceruk nadi
meredup cuaca jiwa
bagai hijau daun-daun danau
yang sempurna
didukung kukuh akar-akar
yang sabar

Jangan relakan lidah menulis lagi
demi zulmat yang menenggelamkan hati!



Wilayah Persekutuan Labuan

1 November 2011

Mengangkat Pengalaman


Menemukan sesuatu yang baru bermakna mengangkat pengalaman meski bukan bererti sempurna, peristiwa itu luka kerana pengajaran tidak mekar pada kelopak yang sama, insan yang leka dan insan yang peka melalui liku-liku yang berbeza, aras sedar kadang dipancung oleh pedang alpa, meninggalkan mayat khilap sukar diwangikan maaf. Maka terhidulah aroma yang tempiasnya membasah, mengapa tak pernah dicontohi hari-hari yang sering memandangmu, bagai bayang pada cermin yang selalu berkata dan mengingatkan, sayang segalanya tanpa suara, akal dan pengalaman tak mahu membezakan kebenarannya.

Pustaka Iqbal Nazim,
Taman Putera Jaya,
Telipok, Sabah.

10 Oktober 2011

Bersiap Silap

Siapakah yang siap dan semata-mata memilih silap? Ketika ini dirimu dipenuhi warna diam, muhasabah memeriksa diri lewat cermin masa lalu, belajarlah daripadanya seperti terdengar sapa pandangan, padahal segalanya berpaksi pada saksi diri. Akal yang siaga juga mengharapkan ikatan yang utuh, tanpa diketahuinya bagaimana ikatan itu disimpulkan. Bersiap bererti bersedia untuk menerima faedahnya, ketika berada di bawah fikiran perlu ke atas dan pandanglah lebih awal rahsia perjalanan, asalkan kau tahu puncak jaya bukan kerana telah sampai di atas tetapi melupakan silap selepas siap mendengar suaranya dan bersedia siaga menghadapi masa lalu yang baru.

Pustaka Iqbal Nazim,
Taman Putera Jaya,
Telipok.

11 Oktober 2011

Ayat kepada Kalbu


Tulislah sebarang kata yang membuatkan jiwa suka. Bagai mendaki laut, bisikmu mengagumkan, semakin dalam puncak dasar semakin berbicara kemahaluasan jiwa. Ombak mencintai badai tanpa luka, hayati ayat-ayat yang terdampar, warna suara yang berderai tapi tak pernah pisah, bersahutan dengan satu. Bahkan camar selalu melamar kebiruan yang tertulis keagungan-Nya, bulan dan segala hidupan kagum, takkan habis tertulisnya rahsia percintaan, demi indahnya citra yang mendegupkan kalbu. Tulislah sebarang kata tentang tabah dan keluhuran, bagai butiran pasir yang bersatu menyambut salam dan setia mendengar deklamasi bayu, muzika sukmanya.

Pustaka Iqbal Nazim,
Taman Putera Jaya,
Telipok.

12 Oktober 2011