15 Julai 2010

Melamar Rindu

Ya Rabbi, di semerbak malam kukhabarkan wangi Cinta, gementar debarku saat mentasbihkan asmaMU, Engkau yang bertakhta dalam keagunganMU, benar, kasihMU hampir yag dekat, ya Rahman, benarkan kumelamar rindu, sewaktu kudatang bertandang dari jauh, bersimpuh di bawah rimbunan maghfirahMU.

Ya Rabbi, di sakinah sunyi kukhabarkan lagi putih Cinta, gemersik santunku saat menguntum pinta, Engkau yang bertakhta dalam kebesaranMU, benar, kasihMU dekat yang akrab, ya Rahim, benarkan kumelamar rindu, sewaktu kudiami pesona mawaddahMU, sujud di bawah naungan rahmatMU.

Ya Rabbi, di mihrab pengabdian kukhabarkan lagi suci cinta, gemuruh gelora kalbuku saat kuikrarkan abrar, Engkau yang bertakhta dalam rahsia cahayaMU, benar, kasihMU akrab yang menyatu, ya Ghaffar, benarkan kumelamar rindu, sewaktu kubersembunyi dalam kilauan nurMU, abadi mengqiami cahaya dalam cahayaMU.

PUSTAKA IQBAL NAZIM
Taman Putera Jaya
Telipok.