06 September 2022

KESEDIHAN YANG AMAT SIA-SIA MEMANDANG SEBUAH TAMAN

Saya hanya suka berkata bahawa sebuah wibawa itu bukan sebuah beban. Mengapa berasa beban ialah kerana tiadanya keikhlasan, hilangnya nikmat sebuah amanah sambil amanah semata bagai bunga yang indah dan' menjadi hiasan.


Di situ gahnya diserlahkan matlamat sebesar dunia telah disebarkan berzaman tak perlu bicarakan masa lalu andai masa kini hanya sebuah taman yang tidak lagi kelihatan kelibat rama-rama.


Taman ini ingin dikenali dengan apa? Ujana yang berkeliaran dibawa oleh keinginan lain membiarkan yang telah lama diam itu selamanya diam.


Katamu sesekali diramahi dan kau menyahutnya dari kerah giat sentuhan orang-orang dari negeri awan. Apakah itu yang dibanggakan? Idea bagimu seperti suara yang tiba tanpa perlu berkerah fikiran.


Saya meraih duka yang amat panjang. Apakah akan hilang sebuah syurga bagi pejuang-pejuang untuk sebuan taman yang membina lebih ramai pejuang keindahan jati diri dan santun hati budi?


Saya melihat sesuatu yang sia-sia dan kesedihan yang amat sia-sia.


Perpustakaan Negeri, 2018


(MUSIM PERUBAHAN DI NEGERI KAMAI, IRIS 2021, m.s. 90-91)

 

HUJAN ii

Nasyid sukma berkumandang. Telah tenggelam bisik cengkerek. Kedekdekek kodok tadi berlompatan sekarang hilang. Tak dapat disusun nota air yang gugur ini. Bahasa basahnya sukar difahami. Dingin meruap bersama wap. Pokok pisang diam seperti adanya, daun-daunnya melambai. Adakah rindu itu? Hari ini tiada guruh. Awan-awan menguntum. Jalan-jalan mengumpul makna gusar dan risau. Parit dan sungai kecil mula menerima kunjungan setia. Tanpa sapa, ini sukma lagu musim, nasyid hujung yang mencabar makna cinta dan tabah asa.

RupHA
22/8/2021

BERSAMA AWAN

 - Norjannah MA 

Begitu dijanjikannya meyakini
saat tiba juga akhirnya, tidak usai usia
tanpa ujian, betapa kerdilnya insan
dari keagungan kun-Nya.
Tak utuh jasad, pasrah di seluruh raga
mengakui ada pertolongan lebih diyakini
sumur doa menakung raja' kalimah-kalimah syurga.

Pintu itu telah menyala cahaya
petunjuk tuju, mungkin ada alpa tak sempat
dibuka, mulus tulus menemui isyarat.
Mungkin kau bersama awan
dan embun memeluk kalbu nan indah
Rabb pautkan kekuatan pemilik sayap jelita.
 
RupHA
5.5.2017
8 Syaaban 1438

03 September 2022

ANUGERAH

- kepada tokoh

Mau menjadi berjasa maka
kaulah tugu, kemudian diseru
kaulah simbol, kemudian disimpan
kaulah sejarah.
 
Sejarah melipat wibawa, wibawa 
ditanding banding tiada dua, nilai
menimbang tara tanpa cela, diadili
kaulah juara.
 
Antara ada dalam tiada.

RODA

 

Kita sering ingin melangkah
tetapi sering juga berundur
dan memulakan lagi.
 
Telah panjang cerita ini
paman berpergian
masa lampau dilupakan.
 
Gambaran sejarah
hanya perca peristiwa
taman kerap berubah.
 
Berubah menemukan pusingan
seperti roda yang diraikan
pesta perjuangan di meja perundingan.

Awan-awan yang bergompalan

apabila matahari bangun tempiaskan cahaya paginya, kau akan memandang cahaya yang berlapis di atas awan-awan yang bergompalan di angkasa. bias cahayanya menarik sayu hati akan kebesaran Ilahi, wajah langit bagai sebuah galeri lukisan-lukisan abstrak yang amat bermakna, sebuah terapi yang bererti sekali. kau akan teruja. 

Pustaka Iqbal Nazim
Kota Kinabalu

Lailatul Tajalli

bumi yang tenang kembang cahaya bertandang rahsiaNya yang tersimpan qiam hanya raja' dianyam sejadah mengutus tulus segala jiwa kudus 

PUSTAKA IQBAL NAZIM 
25 Ramadan 1431H

Lena di Kamar Cinta

apakah yang kuterima dari langit menerpa seluruh jiwa ini sebuah khabar atau liku-liku ke kota cabar yang tak seperti malam-malam iktibar belajar memahami makna jabbar?

kasih sayang menjelang daripada masa silam membumi peribadi sebagai insan menulis setiap rasa dengan kata-kata riuh suara jiwa penuh jiwa bahagia

ku telah sering diolah menjadi sempurna dengan wibawaku sekadar biasa ehsannya degup jantung cahaya yang membara menyinar syiar benar mengakar tanya menjadi tanda entah akukah yang lupa memanah bulan sebenarnya sisa-sisa usia buat cinta yang pernah ada

andai malam tak pernah selesai kuingin lena di kamar cintamu yang sering mekar tak pernah layu

Sandakan, 26 Oktober 2010.

Harap Hilang Derap

mendengar suara malam seperti mendengar kisah silam berjalan-jalan kenangan tanpa menghiraukan jika hiba jua yang tiba menikam mencarik liang riang menjadi hilang merdunya suara. mendengar sapa malam seperti mendengar lagu pilu terbang di awangan awan-awan membawa ke arahmu seru jika sayu melerai akrab yang lama kejap malangnya kerap harap hilang derap mendengar bayu malam seperti mendengar usik angan berhenti menjalin ungkap biarlah berlayar di pelusuk redup tiada hilang merdu derap segala ingatan mendakap segalanya pulang dan berjuang. 

Grand Margherita, Kuching. 23 Mac 2011.

Umai dan Inava Santapan Citra

Santai menikmati umai mengisi sunyi kota bicara pilihan dan insan mula kembali bermain kata mencongak angka mengenang dosa masa sudah dan kemenangannya, mungkinkan berulang peluang pulang? menjamu umai dan bebiji sagu seakan inaba di desa-desa ulu terurai riuh cerita dahulu tentang tikaman belakang berkata benar siapa bersalah pula apakah dia? semua peristiwa diolah citra sengketa tak sudah-sudah, umai dikunyah biarlah mentah bebiji sagu diratah mentasir seribu satu ulah rentak nafsu yang sering ramah memberi api dilontar amarah kenyangkan dendam dicurah. 

Mukah Sarawak 4 April 2011 

*Umai - sejenis makanan ikan mentah sama seperti inava di Sabah