25 April 2014

Sukma Hujan



Awan-awan memilih diam ketika bumi dingin dihuni kelam.
Hujan sedang dianyam tanpa pelangi. Ketika rindu.

Suara yang hinggap di atap rumahku umpama sapamu.
Damai dan diam. Asyik memanggil masa lalu.

Begitu mahal suria membelah alam kerana menunggu
telah lama padam. Hanya setia bagai awan-awan.

Sebentar lagi hujan menjadi hamparan tikar di danau sunyi.

Kg Gudon
Kota Kinabalu
060114

Pencerahan



- Almarhum ABM Fajeer

membaca taufanmu, ada getar mengimbau, 

terkenang basah rasa barangkali 
tak sempat menjabat apa lagi 
menghidu bahu di hatiku mulus mesra

menerima bahasa islah, 

lagumu nazam dan langgam
putera leluhur tanah air 

yang terus mencair
biarlah ini air mata mengalir 

menjadi tanda cinta

menggelarmu kekanda, 

ketika sapa telah lama diam
pasti inilah pertemuannya, 

dalam dekat dan menjauh
mengalirnya pencerahan 

panggilan Yang Maha.

Pustaka Iqbal Nazim,
Kota Kinabalu.


Putih Taman



- buat semua sahabat penulis

Kita bermula dari garis putih ini. Bersama jiwa yang agung. Sanggah dengan wibawa. Cegah dengan tanggungjawab. Berpada merimbun pohon. Waspada membaja akar.

Sempadan kita bukan pagar. Batas kita bukan belukar. Bugarkan putih leluhur jiwa yang subur. Mari mulakan dari sini. Putih taman ini.

Ikatan Penulis Sabah
Kota Kinabalu.
4/1/2014

Rama-Rama Sukma



Ia mengipas sayap comelnya
menerawang taman-taman warna
dari ranting ke ranting pohon-pohon cinta
membawa manis dan indah flora

Biar ia terbang
biar ia menerawang
ayu sukmanya melukis bersama
pastoral anugerah Pencipta
menyala wanginya sukma

Saujana andatila taman
telah semadi aksara debunga
menenun makna maya
mengadun citra panorama
hayati perjuangan
semi sukma
dalam jiwa

Pustaka Iqbalnazim
Gudon
31/1/2014

STANZA NYANYIAN BURUNG-BURUNG



-       adaptasi kehilangan pesawat MH370
          
i)Nyanyi Burung kepada Awan

setelah kau khabarkan sebuah perjalanan
sayap jelitamu menerjah ke dada awan gemawan
barangkali kesempatan ini telah bermula
daripada kata-kata yang diam
sebenarnya telah ada keterujaan
untuk segera berangkat
ke destinasi yang jelas
dalam bayang
dalam senandung nyanyian -
telah kudatang kepadamu
telah kudatang kepadamu, awan-awan

ii)Nyanyi Burung kepada Malam

hanya cahaya yang mampu membawa
di manakah sukmamu bersembunyi
sedang halkum tak membaca aksara
selain khusyuk memuji Tuhan
seperti tak ada lagi kebarangkalian
untuk datang atau untuk kembali
segalanya ditakdirkan begini
tak lagi terasa rupa atau sapa
tak lagi tersisa kata atau makna
meluncur terbang mengarah kelam
dengan diam damai
dengan malam
dengan alam

iii)Nyanyi Burung kepada Lautan

mungkinkah ada pusaran gelombang yang menelan
serba tafsir dan tamsil bergema
ada lorong-lorong yang membawa ke dasar
di lapangan lautan yang sukar difahami
di sini segalanya mencari
burung-burung laut yang akur
tak berpuas rasa membuka seluasnya
gelora gelombang
di pantai menunggu sebuah janji
di pergunungan menanti terbukanya cahaya
dari lautan bergema zahir zikir
dari lautan mengaum zahir fikir
dari lautan mengalun zahir segala mungkin


(iv)Nyanyi Burung kepada Diri

telah terungkai kun faya kun
hanya kembali ini memandangnya
berserah pasrah
saudara-saudara yang berjuang
entah untuk apa dan kepada siapa
sukar difahami tetapi ini terapi
yang mengajar diri
mengingatkan seluas dataran
seluas lautan seluas angkasa
seluas cinta seluas diri
apakah yang dapat diberi
dari hikmah dan ingatan ini
doa-doa para daie, para insan
para sahabat, para makmum
para pengasih kepada Maha Pengasih
buatmu
inilah nyanyian sukma
yang terus terbang
mengibarkan jelita sayap-sayapnya.


HASYUDA ABADI
Kota Kinabalu
12 Mac 2014

09 November 2011

Jangan Biarkan Lidah Menulis

Jangan biarkan lidah menulis lagi
mengukir bait-bait pahit
waima memekik dan menjerit
jika hanya derita
berapung di lorong-lorong
jiwa yang kosong
rawat rawa-rawa jiwa
di dalam rumah
sungguh riwayatmu tidak di sini
ketika digenggam dendam
rakus meraut lidah

Jangan relakan lidah menulis lagi
hingga enggan membezakan
wibawa dan getus kecewa
baik petik buah-buahan segar
dari pohon batin yang mekar bugar
setanggi cinta mengaroma
ramah cahayanya
di ufuk mata

Jangan relakan lidah menulis lagi
andainya bait-bait menjadi puisi
biar terserap ke seluruh ceruk nadi
meredup cuaca jiwa
bagai hijau daun-daun danau
yang sempurna
didukung kukuh akar-akar
yang sabar

Jangan relakan lidah menulis lagi
demi zulmat yang menenggelamkan hati!



Wilayah Persekutuan Labuan

1 November 2011

Mengangkat Pengalaman


Menemukan sesuatu yang baru bermakna mengangkat pengalaman meski bukan bererti sempurna, peristiwa itu luka kerana pengajaran tidak mekar pada kelopak yang sama, insan yang leka dan insan yang peka melalui liku-liku yang berbeza, aras sedar kadang dipancung oleh pedang alpa, meninggalkan mayat khilap sukar diwangikan maaf. Maka terhidulah aroma yang tempiasnya membasah, mengapa tak pernah dicontohi hari-hari yang sering memandangmu, bagai bayang pada cermin yang selalu berkata dan mengingatkan, sayang segalanya tanpa suara, akal dan pengalaman tak mahu membezakan kebenarannya.

Pustaka Iqbal Nazim,
Taman Putera Jaya,
Telipok, Sabah.

10 Oktober 2011

Bersiap Silap

Siapakah yang siap dan semata-mata memilih silap? Ketika ini dirimu dipenuhi warna diam, muhasabah memeriksa diri lewat cermin masa lalu, belajarlah daripadanya seperti terdengar sapa pandangan, padahal segalanya berpaksi pada saksi diri. Akal yang siaga juga mengharapkan ikatan yang utuh, tanpa diketahuinya bagaimana ikatan itu disimpulkan. Bersiap bererti bersedia untuk menerima faedahnya, ketika berada di bawah fikiran perlu ke atas dan pandanglah lebih awal rahsia perjalanan, asalkan kau tahu puncak jaya bukan kerana telah sampai di atas tetapi melupakan silap selepas siap mendengar suaranya dan bersedia siaga menghadapi masa lalu yang baru.

Pustaka Iqbal Nazim,
Taman Putera Jaya,
Telipok.

11 Oktober 2011

Ayat kepada Kalbu


Tulislah sebarang kata yang membuatkan jiwa suka. Bagai mendaki laut, bisikmu mengagumkan, semakin dalam puncak dasar semakin berbicara kemahaluasan jiwa. Ombak mencintai badai tanpa luka, hayati ayat-ayat yang terdampar, warna suara yang berderai tapi tak pernah pisah, bersahutan dengan satu. Bahkan camar selalu melamar kebiruan yang tertulis keagungan-Nya, bulan dan segala hidupan kagum, takkan habis tertulisnya rahsia percintaan, demi indahnya citra yang mendegupkan kalbu. Tulislah sebarang kata tentang tabah dan keluhuran, bagai butiran pasir yang bersatu menyambut salam dan setia mendengar deklamasi bayu, muzika sukmanya.

Pustaka Iqbal Nazim,
Taman Putera Jaya,
Telipok.

12 Oktober 2011